Monday, February 8, 2021

JANGAN LAGI DITANGGUHKAN PERUBAHAN ITU


As salammualaikum w.b.t. semua. Diharapkan semuanya dalam keadaan ceria dan sihat. In sya Allah.

Perasan tak, ramai antara kita (nasihat untuk diri ini juga) yang kadang-kadang menunggu hari, momen atau peristiwa tertentu yang sesuai untuk melakukan perubahan dalam diri. Sehingga kadang-kadang kita menangguhkan langkah yang sangat penting untuk berubah. Sebagai contoh paling mudah, kita akan mula tutup aurat bila tiba tahun bahru (kononnya azam tahun bahru). Atau pun, "next year lah aku mula solat 5 waktu tanpa culas"..

Kita yakin kalau momen itu tiba, kita akan lebih bersemangat. Dan, kalau momen itu tidak tiba, atau kita terlepas momen tersebut kita akan malas dan putus harapan. 

Hari ini, 8 Februari 2021, Adakah kita sudah mulakan semangat tersebut? Adakah perubahan kita masih kekal konsisten? Kalau ya, Alhamdulillah dan Tahniah. Sekiranya belum, adakah kita akan tangguhkan lagi niat/azam kita itu sehingga tiba awal Muharam nanti? Atau sehingga ulang tahun kelahiran kita nanti? Atau kita tunda pada tahun depan, 2022? Waah. Yakinkah yang kita akan hidup sehingga tiba momen tersebut?

Sedarlah, yang kita tidak akan berubah atau memperbaharui hidup dengan bergantung kepada momen tertentu. Semua itu hanya angan-angan.

Sedarlah, perubahan itu bergantung pada diri kita sendiri, yang perlu dimulakan pada bila-bila masa.

Hiduplah untuk hari ini dengan perbaharui hidup kita pada saat ini.

Jangan lagi ditangguhkan perubahan itu.

selamat tahun baru! and Happy New You! ❤️

Sunday, January 17, 2021

ULASAN BUKU: SHERLOCK HOLMES (TERJEMAHAN BAHASA MALAYSIA)



Aku ambil masa untuk menghabiskan pembacaan buku ini selama sehari untuk setiap satu buku. Ikutkan boleh je nak habiskan kurang satu hari, tapi ada tanggungjawab lain yang turut memerlukan komitmen aku (haha, nak tergelak aku masa taip part ni. nampak macam poyo kan? kalau mak aku baca ni, mesti dia sengih je sebab dia tahu aku malas buat kerja rumah (kes WFH). hahahhaha). Setiap satu kisahnya ditulis pendek, jadi itu mungkin salah satu sebab aku cepat habiskan pembacaan. Lagi pula, buku ini bukan hak milik aku (aku pinjam kawan), jadi rasa keberatan untuk pinjam lama-lama. hehe

Aku sangat menggalakkan untuk dijadikan buku ini sebagai bacaan seisi keluarga. Bagi yang tidak mahir membaca buku bahasa inggeris, bolehlah membaca buku ini. Ianya diterjemah dengan baik dan mudah difahami. Harga pun mampu milik. Hanya RM10 untuk setiap buku. Menarik bukan?

Jujurnya aku tak pernah tengok siri TV Sherlock Holmes. huhu. dan aku hanya memiliki sedikit pengetahuan mengenai Sherlock Holmes itupun melalui movie Enola Holmes (Best movie ni). Tapi, melalui buku ni, aku kenal siapa itu Sherlock Holmes. Kagum sekejaplah dengan kebijaksanaan Sherlock Holmes dalam menyelesaikan kes yang disiasat.. Buatkan aku teruja nak cari dan tengok siri TV dia. (Sangat ketinggalan ke? Huhu)

Setiap satu buku ini ada 3 kisah yang dimuatkan. Kalau disuruh memilih kisah mana yang best, susah nak bagi jawapan. Sebab semuanya best. Selain menceritakan tentang kebijaksanaan Sherlock Holmes menyelesaikan masalah, banyak pengajaran yang boleh diambil dari setiap kisah ini. Antaranya:

1) cinta tak selalunya memiliki. Namun, kita boleh buat pelbagai cara untuk pastikan orang kita sayang selamat (Penunggang Basikal Solo).

2) kasih sayang ayah pada anak lelakinya dengan sedaya upaya menutup kejahatan si anak (Misteri kehilangan di Sekolah Priory).

3) Walau cinta ditolak, kehidupan perlu diteruskan, elakkan perasaan berdendam (Jurubina dari Norwood).

4) Pentingnya kepercayaan dan komunikasi antara suami isteri untuk mengelakkan salah faham dan masalah yang lebih serius. (Rahsia orang Menari).

Tapi..... tapi, kalau suruh pilih antara baca buku atau tengok TV, aku prefer tengok TV. 

Sekian, ulasanku. Terima kasih.

Saturday, January 16, 2021

ULASAN BUKU: ISLAM KATA... ISTERI BUKAN BIBIK


Aku pernah tahu bahawa tugas isteri di rumah seperti memasak, mengemas, menjaga anak dan tugas-tugas rumah tangga yang lain tidak wajib dilakukan oleh isteri. Namun, aku kurang bukti untuk mengesahkannya. Atau aku sebenarnya kurang membaca? Haha (Mungkin!). Ternyata, persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran aku dan bukti-bukti tersebut terjawab dalam buku ini. Yang lebih menyakinkan, bukti-bukti tersebut disokong oleh hujah-hujah ilmiah oleh ulama 5 Mazhab. Mereka sepakat menyatakan bahawa para isteri tidak wajib melakukan semua ursan rumah tangga. Jika isteri tetap ingin melakukannya, maka perbuatannya itu menjadi ibadah dan menambahkan nilai pahala utk dirinya.

Nampak kan, betapa tinggi Islam meletakkan kedudukan wanita. Tapi, kebanyakan adat yang berkembang di negara kita kelihatannya tidak seiringan dengan syariat Islam. Aku kira, melalui pembacaan sebegini boleh membantu menyelesaikan perkara ini. In sya Allah.

Buku ini dimulakan dengan perbincangan tentang pembantu rumah/bibik. Apa yang bibik buat, sama seperti apa yang para isteri buat. Bezanya bibik dapat gaji, manakala isteri tidak. Sedangkan isteri pun layak dapat gaji sebab tugas menguruskan rumah tangga bukan tugas isteri. Yang lebih menarik, buku ini berkongsi fakta mengenai kadar gaji untuk seorang bibik di negara maju. Ada yang mencecah sampai RM100k. Cuba bayangkan kalau gaji itu dibayar pada para ibu di Malaysia. Wahh, kaya raya jadinya.

Selain membincangkan berkaitan tugas isteri di rumah, buku ini turut membincangkan perihal tanggungjawab suami, mahar, nafkah, jimak, wajibkah isteri menyusukan anak, bolehkah wanita bekerja dan masalah pembahagian harta selepas pasangan meninggal dunia. Jadi, buku ini sesuai untuk golongan yang sudah berkahwin atau yang bakal berkawin (tidak mengira jantina). 

Satu ilmu baru buat aku, kita tak boleh menangguh-nangguhkan proses pembahagian harta peninggalan terlalu lama. Walaupun kita rasa kurang adab sebab dilakukan tergesa-gesa (pasangan baru meninggal dunia). Sebab dalam Islam, setiap orang ada hak terhadap harta masing-masing. Sekiranya ditangguhkan, ia akan mengakibatkan kesalahan yang berpanjangan dan sukar untuk diselesaikan. Aku ambil satu contoh dalam buku ini:

>> ketika seorang datuk meninggal dunia, dia meninggalkan sebidang tanah. Tanah itu dibiarkan dan tidak dibahagikan kepada ahli waris sehingga seorang ataupun beberapa orang ahli waris meninggal dunia. Entah bagaimana ataupun ketika alasan apa, selama bertahun-tahun tanah itu dibiarkan tanpa diketahui secara jelas siapakah pemiliknya. Pada masa yang sama, anak-anak kepada ahli waris yang lain pun lahir. Sebenarnya, mereka bukanlah ahli waris secara langsung daripada keturunan datuk berkenaan. Kemudian, perebutan terhadap tanah peninggalan itu mula berlaku. Setiap cucu yang ada berasa mereka adalah ahli waris yang berhak terhadap tanah berkenaan. Masing-masing mendakwa mereka adalah pihak yang berhak terhadap tanah itu.<<

Situasi seperti ini akan terus berlaku sekiranya generasi yang menjadi ahli waris sudah ramai yang meninggal dunia. Sepatutnya tanah peninggalan itu segera dibahagikan supaya para ahli waris yang berhak memilikinya dapat segera menikmatinya.

Seeloknya, suami isteri sudah ada kata sepakat tentang status pemilikan harta sepencarian. Buat catatan terperinci harta masing-masing yang dimiliki sebelum/selepas berkahwin. Maklumkan kepada calon ahli waris. Apabila status pemilikannya jelas, proses seterusnya akan jadi mudah.

Bagi aku, buku ni best sebagai tambahan ilmu buat kita-kita. Setiap bab dikupas dengan begitu baik beserta bahasa yang mudah difahami. Tak ada masalah untuk membacanya dalam masa sehari. Setiap satu sumbernya ditulis pada setiap pengakhiran bab.

Terima kasih penulis dan penerbit.



 
Images by Freepik