Saturday, January 16, 2021

ULASAN BUKU: ISLAM KATA... ISTERI BUKAN BIBIK


Aku pernah tahu bahawa tugas isteri di rumah seperti memasak, mengemas, menjaga anak dan tugas-tugas rumah tangga yang lain tidak wajib dilakukan oleh isteri. Namun, aku kurang bukti untuk mengesahkannya. Atau aku sebenarnya kurang membaca? Haha (Mungkin!). Ternyata, persoalan-persoalan yang berlegar di fikiran aku dan bukti-bukti tersebut terjawab dalam buku ini. Yang lebih menyakinkan, bukti-bukti tersebut disokong oleh hujah-hujah ilmiah oleh ulama 5 Mazhab. Mereka sepakat menyatakan bahawa para isteri tidak wajib melakukan semua ursan rumah tangga. Jika isteri tetap ingin melakukannya, maka perbuatannya itu menjadi ibadah dan menambahkan nilai pahala utk dirinya.

Nampak kan, betapa tinggi Islam meletakkan kedudukan wanita. Tapi, kebanyakan adat yang berkembang di negara kita kelihatannya tidak seiringan dengan syariat Islam. Aku kira, melalui pembacaan sebegini boleh membantu menyelesaikan perkara ini. In sya Allah.

Buku ini dimulakan dengan perbincangan tentang pembantu rumah/bibik. Apa yang bibik buat, sama seperti apa yang para isteri buat. Bezanya bibik dapat gaji, manakala isteri tidak. Sedangkan isteri pun layak dapat gaji sebab tugas menguruskan rumah tangga bukan tugas isteri. Yang lebih menarik, buku ini berkongsi fakta mengenai kadar gaji untuk seorang bibik di negara maju. Ada yang mencecah sampai RM100k. Cuba bayangkan kalau gaji itu dibayar pada para ibu di Malaysia. Wahh, kaya raya jadinya.

Selain membincangkan berkaitan tugas isteri di rumah, buku ini turut membincangkan perihal tanggungjawab suami, mahar, nafkah, jimak, wajibkah isteri menyusukan anak, bolehkah wanita bekerja dan masalah pembahagian harta selepas pasangan meninggal dunia. Jadi, buku ini sesuai untuk golongan yang sudah berkahwin atau yang bakal berkawin (tidak mengira jantina). 

Satu ilmu baru buat aku, kita tak boleh menangguh-nangguhkan proses pembahagian harta peninggalan terlalu lama. Walaupun kita rasa kurang adab sebab dilakukan tergesa-gesa (pasangan baru meninggal dunia). Sebab dalam Islam, setiap orang ada hak terhadap harta masing-masing. Sekiranya ditangguhkan, ia akan mengakibatkan kesalahan yang berpanjangan dan sukar untuk diselesaikan. Aku ambil satu contoh dalam buku ini:

>> ketika seorang datuk meninggal dunia, dia meninggalkan sebidang tanah. Tanah itu dibiarkan dan tidak dibahagikan kepada ahli waris sehingga seorang ataupun beberapa orang ahli waris meninggal dunia. Entah bagaimana ataupun ketika alasan apa, selama bertahun-tahun tanah itu dibiarkan tanpa diketahui secara jelas siapakah pemiliknya. Pada masa yang sama, anak-anak kepada ahli waris yang lain pun lahir. Sebenarnya, mereka bukanlah ahli waris secara langsung daripada keturunan datuk berkenaan. Kemudian, perebutan terhadap tanah peninggalan itu mula berlaku. Setiap cucu yang ada berasa mereka adalah ahli waris yang berhak terhadap tanah berkenaan. Masing-masing mendakwa mereka adalah pihak yang berhak terhadap tanah itu.<<

Situasi seperti ini akan terus berlaku sekiranya generasi yang menjadi ahli waris sudah ramai yang meninggal dunia. Sepatutnya tanah peninggalan itu segera dibahagikan supaya para ahli waris yang berhak memilikinya dapat segera menikmatinya.

Seeloknya, suami isteri sudah ada kata sepakat tentang status pemilikan harta sepencarian. Buat catatan terperinci harta masing-masing yang dimiliki sebelum/selepas berkahwin. Maklumkan kepada calon ahli waris. Apabila status pemilikannya jelas, proses seterusnya akan jadi mudah.

Bagi aku, buku ni best sebagai tambahan ilmu buat kita-kita. Setiap bab dikupas dengan begitu baik beserta bahasa yang mudah difahami. Tak ada masalah untuk membacanya dalam masa sehari. Setiap satu sumbernya ditulis pada setiap pengakhiran bab.

Terima kasih penulis dan penerbit.



No comments:

 
Images by Freepik